Just The Way I'm

Just The Way I'm

Wednesday 30 January 2013

Lapan cara cegah tulang rapuh




Osteoporosis atau pereputan tulang, adalah keadaan yang mana struktur dan kepadatan tulang merosot sehingga mengakibatkan kesakitan.  Osteoporosis juga menyebabkan tulang menjadi rapuh dan mudah patah.  Gejala osteoporosis ialah sering sakit belakang, postur badan membongkok dan ketinggian badan berkurangan. Namun osteoporosis yang ringan boleh berlaku tanpa sebarang gejala pun. 
Apabila seseorang disyaki mengalami osteoporosis, doktor biasanya akan melakukan pemeriksaan Kepadatan Mineral Tulang, BMD.  Pemeriksaan ini dapat mengenal pasti wujudnya keadaan osteoporosis pada seseorang dan tahap keseriusan osteoporosis  yang dialaminya. Pemeriksaan BMD yang lazim digunakan ialah pemeriksaan jenis Dual X Ray Absorptiometry atau singkatannya DXA. 
Osteoporosis boleh disebabkan oleh banyak perkara antaranya kekurangan vitamin D, kekurangan kalsium, kurang melakukan aktiviti fizikal, berat badan terlalu rendah, pengambilan minuman beralkohol serta gangguan pada hormon. Beberapa hormon dalam tubuh memainkan peranan penting dalam mengawal penggunaan kalsium oleh tulang. Gangguan tiroid dan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti kortikosteroid untuk asma atau radang sendi kronik juga boleh menyebabkan seseorang mengalami pereputan tulang.
Golongan perokok juga berisiko mengalami osteoporosis. Kesan toksik atau racun dari nikotin terhadap sel-sel tulang akan menghalang kemampuan tubuh untuk menggunakan estrogen, kalsium dan vitamin D.  Risiko untuk mengalami osteoporosis juga akan meningkat apabila usia seseorang semakin lanjut, berat badan tidak normal atau mengalami menopaus. 
Jika tidak segera diatasi, komplikasi yang sering berlaku terhadap penghidap osteoporosis ialah kes patah tulang.  Secara umumnya kes osteoporosis berlaku pada golongan tua, justeru jika berlaku komplikasi patah tulang, risikonya jauh lebih besar dan proses penyembuhannya pula memakan masa lebih lama. 
Berikut, beberapa langkah untuk mencegah osteoporosis: 
1. Pengambilan kalsium dan vitamin D
Kalsium dapat diperoleh daripada susu rendah lemak, keju, susu kacang soya, brokoli dan sayur-sayuran hijau. Rujuk kepada doktor jika anda memerlukan suplemen kalsium tambahan. Vitamin D pula berfungsi untuk membantu menyerap kalsium. 
2. Amalan bersenam 
Lakukan senaman kira-kira setengah jam sehari, lima hingga enam kali seminggu seperti berjalan kaki, aerobik, berbasikal atau berenang. 
3. Kurangkan pengambilan garam
Garam meningkatkan pengeluaran kalsium melalui peluh dan air kencing. 
4. Hadkan pengambilan kafein
Perkara ini penting khususnya bagi wanita yang sudah memasuki usia menopaus. 
 5. Berhenti merokok
Merokok boleh menjejaskan pemulihan tulang yang rapuh atau patah dan menghalang pertumbuhan tulang. 
6. Hadkan pengambilan alkohol
Alkohol boleh mengganggu proses penyerapan kalsium dan mengurangkan kadar hormon yang berperanan dalam pembentukan tulang. 
7. Berhati-hati dengan ubat yang anda makan
 Terutamanya ubat-ubatan jenis kortikosteroid yang digunakan dalam jangka panjang kerana ia meningkatkan risiko pereputan tulang. 
8. Elakkan aktiviti fizikal berlebihan 
Hindari aktiviti seperti mengangkat barang berat bagi mengelakkan berlakunya kecederaan dan patah tulang. 
Sumber: www.meetdoctor.com

No comments:

Post a Comment