Islam mengajar umatnya supaya banyak bersabar di dalam semua keadaan
sama ada ketika senang atau pun susah kerana ia merupakan pengukur
darjat keimanan seseorang. Islam mengajar umatnya supaya jangan membalas
keburukan orang sebaliknya menambahkan lagi kebaikan terhadap mereka
mudah-mudahan dengan itu hati mereka menjadi lembut dan baik. Setiap umat
Islam wajib menghubungkan silaturrahim dan haram memutuskannya.
Didalam perjuangan kehidupan, manusia biasanya berhadapan dengan keuntungan
dan kerugian atau kemuliaan dan kecelakaan. Ketika berhadapan dengan kerugian
atau kecelakaan yang merupakan dugaan bagi manusia, ketika itu hendaklah
diterima dan dihadapi dengan penuh kesabaran kerana manusia telah dijanjikan
bahawa Allah bersama orang-orang yang sabar.
Sabar ialah mengawal diri daripada kegelisahan dan menerima segala dugaan,
rintangan dan segala suruhan Allah dengan hati yang tenang iaitu tidak merasa
jemu dan berputus asa dalam menghadapi kesulitan hidup. Kita hendaklah bersabar
ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa kerana semua
makhluk adalah menjadi milik Allah. Malah kita dinasihatkan untuk berkata:
” Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
al-Baqarah :156)
Sesungguhnya setiap mukmin yang beriman kepada Allah, imannya belum dapat
diperakui sebelum diuji keimanannya itu dan berjaya pula menghadapi dugaan
tersebut di mana tiada balasan yang lebih besar di dunia dan akhirat daripada
balasan bagi seseorang yang bersifat sabar dalam menghadapi bala ketika di dunia.
Setiap ujian yang diturunkan oleh Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Oleh
itu untuk menjadi hamba Allah yang dikasihi, hendaklah kita bersedia menghadapi
setiap ujian yang menimpa dengan penuh kesabaran, sebaliknya bagi seseorang
yang tidak redha menerima ujian Allah, maka ia akan menjadi hamba yang dibenci
serta jauh daripada rahmat Allah.
No comments:
Post a Comment