Perkembangan Islam mutakhir ini menyaksikan ramai wanita Muslim memakai tudung. Ini amat menggembirakan kerana mereka sedar bahawa Allah mewajibkan ke atas wanita Muslim untuk menutup aurat dan ia adalah suatu fardu bagi mereka yang sudah baligh.
Tidak salah bagi setiap wanita untuk mengikuti perkembangan fesyen semasa selagi panduan syarak diutamakan dalam semua keadaan dan mampu mengawal diri supaya tidak melanggar batasan yang di gariskan dalam Islam terutamanya dalam soal perhiasan dan berpakaian.
Islam juga tidak pernah melarang umatnya untuk berfesyen dan mengikuti aliran fesyen terkini tetapi pastikan setiap wanita yang bertudung menutup aurat keseluruhannya bukan sekadar melepaskan batuk ditangga.
Sebagaimana Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan Islam, atau hamba mereka, atau orang gaji dari orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” (Surah An-Nur, Ayat 31).
Namun, dalam keghairahan bertudung mengikut pembangunan fesyen semasa, masih terdapat segelintir wanita Muslim yang alpa mengenai aurat sehingga menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan umat Islam. Kini, pelbagai fesyen tudung dipakai mengikut proses transformasi dan permodenan semasa. Namun, pemakaiannya masih dianggap tidak sempurna jika masih menampakkan bahagian leher dan dada. Menutup aurat bukan sekadar jika kepala sudah kemas diliputi tudung sudah dikira menutup aurat tetapi wajib menutup seluruh badannya kecuali pada bahagian muka dan kedua-dua tapak tangan.
Seseorang yang masih tidak dapat diiktiraf sebagai menutup aurat iaitu wanita yang berpakaian tetapi dilihat “bertelanjang”. Hal ini kerana, masih ramai wanita bertudung tetapi mengenakan pakaian ketat dan nipis hingga menampakkan bentuk atau susuk badannya dan mampu menaikkan nafsu syahwat lelaki yang bukan mahram melihatnya. Jika ada sekelumit perasaan megah dan bangga diri dengan apa yang dipakai saban itu turut mengudang dosa.
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka. Aku belum pernah melihat mereka iaitu golongan yang mempunyai cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang dan golongan kedua adalah para wanita yang berpakaian tetapi telanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menarik perhatian orang yang melihat mereka. Kepala mereka bagaikan bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak dapat mencium bau wanginya.” (Riwayat Muslim).
Dalam isu pemakaian tudung, ia bukan sekadar berfesyen atau budaya untuk dijadikan ikutan semata-mata tetapi demi menjaga maruah mereka sebagai wanita Islam. Jika wanita itu berpakaian dengan sempurna pasti dapat mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan mungkar.
Oleh itu, setiap wanita bertudung perlu segera membetulkan prinsip dan niat mereka bertudung hanya kerana Allah serta menunaikan tanggungjawab sebagai hamba-Nya. Jika mereka sentiasa mengikut syariat setiap masa memakainya dikira sebagai ibadah. Setiap perkara yang diperintahkan itu pasti mempunyai hikmah dan ganjaran daripada Allah.
Antara hikmah menutup aurat ialah dapat menjaga maruah dan kehormatan diri serta menutup peluang orang lain terbabit dengan dosa akibat melihat aurat yang sengaja didedahkan. Wanita juga diperintahkan Allah SWT untuk menutup aurat dengan sempurna untuk membezakan antara wanita Islam dan kafir. Bertudung juga merupakan identiti wanita Islam sebagai suatu benteng untuk melindungi kehormatan diri. Sebagaimana yang kita tahu, harga diri setiap wanita sangat tinggi nilainya. Disebabkan itulah, Allah memerintah seseorang wanita yang sudah baligh wajib menutup aurat sehingga menutupi seluruh badannya kecuali pada bahagian muka dan kedua-dua tapak tangan.
Namun, apa yang ditonjolkan oleh golongan wanita pada hari ini masih tidak mematuhi garis panduan yang ditetapkan syariat Islam. Oleh itu, setiap wanita Muslim perlu mengambil serius perkara ini supaya mereka terlepas daripada fitnah pandangan lelaki bukan mahram selain menjaga maruah wanita Muslim. Wanita juga perlu mengelak daripada berhias atau berpakaian secara berlebih-lebihan (tabarruj) sehingga menarik perhatian orang ramai.
No comments:
Post a Comment